Printer Friendly

Jangan cepat jatuh hukum dan buruk sangka terhadap orang lain.

Baru-baru ini, kerajaan telah menubuhkan sebuah tabung yang diberi nama Tabung Harapan Malaysia bertujuan untuk membolehkan rakyat Malaysia yang ingin menyumbang wang bagi membolehkan kerajaan membayar balik hutang bernilai lebih daripada RM1 trillion.

Tidak sampai seminggu tabung diwujudkan, sebanyak RM27 juta sudah berjaya dikumpul. Semuanya ini menjadi kenyataan hasil kerjasama dan sifat pemurah serta perasaan patriotik kepada negara tercinta ini.

Syukur sambutan dan sokongan yang diberikan amatlah baik namun usaha tersebut tidak terlepas daripada menerima kritikan dan bantahan oleh sesetengah pihak. Bagi mereka ini, penubuhan tabung sedemikian dilihat tidak kena pada tempat dan masa tatkala negara sekarang berhadapan dengan masalah hutang yang tinggi.

Pelbagai kritikan, alasan mahupun kutukan diberikan semata-mata untuk menunjukkan bantahan terhadap inisiatif tersebut. Dalam konteks ini, reaksi sedemikian bukanlah sesuatu yang mengejutkan malah sesuatu yang lumrah.

Manusia memang tangkas untuk buruk sangka dan menjatuh hukum terhadap orang lain lebih-lebih lagi terhadap pihak yang mereka tidak senangi. Perkara ini juga sinonim dalam kehidupan kita seharian. Apabila kita mendapat perkhabaran terhadap sesuatu isu atau berita, reaksi semerta kita ialah untuk memberikan komen-komen yang kurang enak tanpa mengetahui asal-usul atau jalan cerita sebenarnya.

Dengan demikian, berlakulah salah faham dan perasaan syak-wasangka. Apabila perasaan syak-wasangka semakin menebal, maka mereka seakan-akan lupa diri dan terlalu taksub dengan pandangan mereka dan berpendapat, merekalah yang betul.

Yang peliknya, golongan manusia yang paling lantang mengkritik itu adalah mereka yang paling kurang untuk membantu. Mereka ini jugalah yang akan memberikan seribu satu alasan untuk tidak membantu kononnya sibuk ataupun tidak sedar akan kewujudan inisiatif yang dimaksudkan.

Tidak mengapa jika mereka enggan untuk membantu. Tetapi, sekurang-kurangnya dalami dan fahami terlebih dahulu intipati inisiatif yang dilaksanakan itu sebelum membuat sesuatu kritikan. Janganlah sesekali menjadi hipokrit yang cakap tak serupa bikin.

Oleh sebab itu, bagi mereka yang mempunyai perangai sebegini, barangkali ada baiknya juga jika mereka ini bermuhasabah diri. Elak daripada selalu berburuk sangka terhadap seteru atau musuh anda. Sekiranya seteru anda mempunyai idea-idea bernas, seharusnya idea-idea itu diterima dengan hati yang terbuka. Jika idea-idea berkenaan boleh memberi manfaat kepada diri dan negara, apa salahnya. Bukankah kepentingan negara mengatasi segala-galanya?

Sekiranya anda tidak mahu menyumbang atau membantu, usahlah mengkritik dan menghentam semberono. Apa yang diperlukan oleh negara ketika ini adalah idea-idea yang boleh diguna pakai untuk menambah baik negara.

Ketika negara kita masih berada dalam tahap peralihan, semua rakyat Malaysia sewajarnya merapatkan hubungan dan berganding bahu membantu pihak kerajaan yang ada sekarang untuk mengembalikan kegemilangan negara yang kita cintai ini.

COPYRIGHT 2018 Malay Mail Online
No portion of this article can be reproduced without the express written permission from the copyright holder.
Copyright 2018 Gale, Cengage Learning. All rights reserved.

Article Details
Printer friendly Cite/link Email Feedback
Publication:Malay Mail Online (Petaling Jaya, Malaysia)
Geographic Code:9MALA
Date:Jun 4, 2018
Words:447
Previous Article:The most important freedom of all.
Next Article:Transparent govt will have positive impact on investors, says Guan Eng.

Terms of use | Privacy policy | Copyright © 2021 Farlex, Inc. | Feedback | For webmasters